SEDARILAH PELAJAR-PELAJARKU....PENENTU MASA DEPAN SEMAKIN MENGHAMPIRIMU.......

Monday 8 August 2011

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT "MENGENAL HATI BUDI" MASYARAKAT ORANG ASLI KG. KUALA BOH, CAMERON HIGHLANDS, PAHANG



Pada tanggal 18 Jun 2011, Majlis Perwakilan Pelajar Pra Universiti (MPPPU) SMKBG telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat sebagai memenuhi salah satu program wajib dalam takwim MPPPU. Lokasi sasaran program pada tahun ini bertempat di Perkampungan Orang Asli, Kampung Kuala Boh, Cameron Highlands, Pahang. Seramai 30 orang pelajar Tingkatan 6 Atas telah menyertai program ini yang turut diiringi oleh 10 orang guru termasuk 6 orang guru pelatih dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sedang menjalani latihan praktikum di SMKBG. 

Program Khidmat Masyarakat Pra Universiti ini turut disertai oleh rombongan 35 pelajar dan 3 orang guru Panitia Pendidikan Siviks dan Kewarganegaraan (PSK) SMKBG. Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan sepanjang setengah hari ahli rombongan berada di perkampungan orang asli tersebut.  Antaranya termasuklah mengadakan aktiviti sukaneka bersama kanak-kanak orang asli dan juga aktiviti gotong royong membersihkan kawasan perkampungan tersebut. namun akibat kekangan masa, beberapa aktiviti lain yang turut dirancang terpaksa dibatalkan, seperti melawat ke rumah-rumah penduduk setempat untuk beramah mesra.

Pujian yang tinggi dirakamkan kepada seluruh penduduk kampung, terutamanya kanak-kanak orang asli yang begitu bersemangat dan memberi kerjasama penuh dalam menjayakan aktiviti yang telah dijalankan. Layanan mesra dan kerjasama penuh dari Tok Batin Nordin dan Cikgu Jefri ( Penduduk veteran yang disegani ) juga membuatkan program ini berjalan dengan lancar dan sempurna. Sekalung penghargaan juga dirakamkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) yang sanggup menghantar sebuah lori dari Kuala Lumpur bagi mengangkut ahli rombongan ke perkampungan orang asli tersebut yang terpaksa melalui jalan hutan yang begitu mencabar sekali.

Sesungguhnya program ini benar-benar memberi satu pengalaman yang sangat bermakna kepada seluruh ahli rombongan. Diharap juga program seumpamanya dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang.



Pelajar dan guru begitu teruja untuk memulakan perjalanan



Kelihatan beberapa orang guru pelatih kepenatan akibat 
perjalanan yang mengambil masa yang agak lama


Ahli rombongan sempat dibawa melawat ke Pasar Malam 
di Brincang, Cameron Highlands pada sebelah malamnya.



Pelajar-pelajar yang kepenatan akibat perjalanan 
yang jauh tidur dengan lenanya sehingga tidak 
menyedari foto mereka dirakam



Beberapa orang pelajar dan guru sedang menikmati 
sarapan pagi di tempat penginapan.



Foto kenangan dirakam sebelum ahli rombongan 
bertolak ke Perkampungan Orang asli Kuala Boh



Ahli rombongan berjaya sampai dengan selamat 
ke perkampungan Orang Asli dengan diangkut 
oleh lori yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli


Antara rumah tradisional penduduk orang asli yang 
menjadi tarikan dan perhatian ahli rombongan



Guru-guru Pengiring sempat merakamkan foto bersama 
Tok Batin Nordin ( tiga dari kiri ) dan
Cikgu Jefri ( baju merah )



Kain rentang program dipasang di perkampungan Orang Asli
 bagi menghebahkan program yang sedang dijalankan 
kepada penduduk kampung





Antara aktiviti sukaneka yang mendapat sambutan 
hangat dari kanak-kanak orang asli


 En. Nik Mohd Sharrulnizzan (Sir Nik) selaku ketua
rombongan memberi ucapan sebelum upacara
penyampaian hadiah dijalankan.



Sir Nik mengiringi Tok Batin Nordin menyampaikan 
hadiah kepada kanak-kanak orang asli yang menyertai 
aktiviti sukaneka yang telah dijalankan



Sir Nik mewakili pihak SMKBG menyampaikan cenderahati 
kenangan sebagai tanda penghargaan kepada 
Tok Batin Nordin



Seluruh ahli rombongan sempat merakankan foto kenangan 
bersama Tok Batin & Masyarakat Orang Asli 
Kampung Kuala Boh, Cameron Highlands