SEDARILAH PELAJAR-PELAJARKU....PENENTU MASA DEPAN SEMAKIN MENGHAMPIRIMU.......

Thursday 4 August 2011

Sekapur Sireh Dari Tuan Pengetua

Assalamualaikum Warahmatullahitaalahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam Satu Malaysia,
Syukur ke hadrat Ilahi, dengan izinnya kini Pra Universiti SMK Batu Gajah  telah berjaya mempunyai laman Blog sendiri hasil usaha dan komitmen padu Barisan Tenaga Pengajar PPU SMKBG, sanggup menggalas tanggung jawab yang diamanahkan. Jutaan terima kasih diucapkan,tahniah dan syabas!
Memang tidak terlintas dan terfikir dibenak kita sewaktu di era 70an dan 80an dulu,suatu ketika nanti revolusi ledakan yang begitu pesat akan berlaku di arena teknologi maklumat dan komunikasi. Impak yang dialami sungguh mengkagumkan. Kini segala maklumat yang diperlukan berada di hujung jari kita, boleh diperolehi bila-bila masa dan di mana sahaja, manakala komunikasi pula berlaku secara siber, pantas menerusi langit yang tiada sempadan.
Selaras perkembangan tersebut , semua kita semestinya  mempersiapkan diri kita seiring kemajuan yang dicapai, membuka minda dan mempunyai persepsi yang positif terhadap kemajuan ICT.
Justru, secara peribadi saya berpendapat usaha mengadakan laman web bagi setiap sekolah adalah wajar dan proaktif kerana ia dapat menyuntik  sikap membudayakan ICT dalam kehidupan seharian yang seterusnya mampu membawa kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seiring negara maju lain.
Saya amat positif laman web yang telah dihasilkan ini akan dapat memaparkan berbagai maklumat terkini berkaitan perkembangan Pra Universiti SMK Batu Gajah untuk dikongsi bersama dan juga menyediakan ruang untuk kita semua bertukar-tukar fikiran berkaitan isu-isu profesional.
Akhir kata, terima kasih kepada semua pengunjung laman web kami dan semoga kita akan dapat manafaat bersama, insya Allah.Sekian, Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum.